Monday 19 September 2016

MAQASID SYARIAH



Islam merupakan ad- din yang komprehensif lagi progresif di mana dalam  menciptakan syariat,Allah s.w.t tidak melakukan sewenang-wenangnya melainkan telah menggariskan beberapa objektif sama ada secara umum ataupun khusus agar manusia dapat meneruskan dengan harmoni.Seterusnya, maqasid syariah merupakan ilmu yang mengalami perkembangan sebagaimana ilmu yang lain. Ilmu ini adalah asas kepada segala perlakuan mukallaf dan  yang menggerakkan segala  aktiviti manusia dalam rangka merealisasikan kepentingan umum iaitu memberikan manfaat dan menghindarkan kerosakan bagi mencapai keredhaan Allah.Justeru, dalam merealisasikan tanggungjawab sebagai hamba, tidak dapat tidak instrumen maqasid al-Syariah sebagai teori seismograf hukum Islam dijadikan piawaian yang digunakan dalam usaha untuk mencari kebaikan di samping menolak segala keburukan dan mengangkat segala kesulitan yang mengganggu gugat agenda kehidupan manusia.

Maqasid Syariah berasal daripada perkataan "maqsud" atau "maqsad" yang memberi erti kehendak, matlamat atau tujuan. Justeru itu, Maqasid Syariah bermaksud tujuan,natijah atau maksud yang dikehendaki oleh syarak melalui sumber dalilnya menerusi Al-Quran dan Al- Sunnah.
''Maqasid'' didefinisikan sebagai mewujudkan kebaikan (manafaah) dan menolak keburukan serta menghilangkan kemudaratan (mafsadah)
Kepentingan ilmu maqasid syariah ialah ilmu maqasid syariah adalah suatu cabang ilmu yang penting dalam islam. Seterusnya, mereka yang memahami konsep Maqasid Syariah akan berasa kagum dengan keindahan dan kesempurnaan ajaran islam sebagai al-Din. Di samping mengetahuinya juga merupakan suatu syarat penting untuk berijtihad dan berkemampuan mengetepikan amalan taqlid buta.

Dari segi hikmah pensyariatan hukum pula ialah kesemua hukum syariat yang ditentukan oleh Allah SWT adalah demi kebaikan para hamba-Nya sama ada disegerakan atau ditangguhkan. ''Disegerakan'' bermaksud kebaikan segara termasuklah kebaikan di dunia dan segala nikmat yang dikecapi.
''Ditangguhkan'' bermaksud kebaikan di akhirat iaitu mendapat syurga yang kekal abadi dan dijauhkan dari azab neraka. Justeru, tiada satu hukum pun yang sia-sia atau tidak mendatangkan faedah langsung. Maka segala perkara yang disyarakkan pasti ada kebaikan untuk dicapai serta kemudaratan yang ingin dijauhi. Tujuan utama hukum syarak diturunkan sudah pasti untuk mencapai segala bentuk kebaikan dan menolak segala bentuk keburukan atau kemudaratan. Namun apa yang penting dan harus kita ingat,setiap hujah ataupun dakwaan sebegini perlulah disokong dengan dalil Al-Quran atau Al-Sunnah bagi membuktikan kebenaran dan kepalsuannya.

Menurut Imam Syartibi dan Al Ghazali (2010) , matlamat umum syariah islamiah merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak,iaitu keselamatan akal (عقل) , agama (الدين) , harta ( المال ) , jiwa/nyawa (١لنفس) ,dan keturunan (١لنصب) yang setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal,agama, harta,nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia.

 Maqasid Syariah atau objektif syariah adalah untuk kemaslahatan umat secara keseluruhannya. Komponen penting maqasid ini membuktikan bahawa islam ialah sistem hidup yang lengkap, komprehensif ,releven pada bila-bila masa dan sudah pasti boleh dilaksanakan dalam apa-apa jua urusan kehidupan. Seterusnya,garis panduan ini adalah untuk memastikan segala keperluan ,kehendak dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Untuk mencapai objektif pengurusan Islam, stategi , pendekatan , etika dan budaya yang ingin dikembangkan dalam sesebuah organisasi perlulah seiring dengan matlamat syariah Islam di samping mencapai matlamat khusus organisasi itu sendiri.

No comments:

Post a Comment